Tuesday, June 16, 2020

Fahaman Keadaan Hari Kiamat - Benar atau Palsu?

Dengan Nama Allah Maha Pengasih Maha Penyayang

Seperti biasa, pada pagi Jumaat, aku akan terima pelbagai tazkirah Jumaat dari Group Whatsapp. Pada pagi Jumaat baru-baru ini, salah satu mesej aku terima menceritakan bagaimana pada hari Pembalasan nanti, kita akan dituntut pahala oleh orang sekeliling kita...isteri, anak-anak, ibu-bapa, mertua dan sahabat-sahabat.

Tetapi contoh yang diberi agak mengelirukan kerana contoh yang diberi seolah-olah menceritakan bagaimana jika isteri tak kejut suami solat subuh, nanti di akhirat si suami akan menuntut "pahala" yang sepatutnya dia terima dari isteri yang tak kejut solat subuh. Bunyinya seolah-olah pada hari akhirat, sisuami seperti menyalahkan si isteri atas kesalahannya sendiri...

Aku tak rasa tuntutan seperti yang dijelaskan dalam mesej Whatsapp itu pernah aku baca atau lihat di dalam Al Quran. Hari Kiamat di dalam Al Quran adalah hari kita dibangkitkan, dikumpul dan ditimbang

Manakala "Saat" di dalam Al Quran adalah hari yang datangnya secara "tiba-tiba" iaitu sebelum kita dibangkit dan dikumpulkan. Dalam bahasa Melayu, "Saat" ini juga dikenali sebagai Kiamat. Sebab itu kita selalu merujuk kepada "Tanda-tanda Kiamat" dan bukannya Tanda-tanda Saat.

Satu lagi istilah di dalam Al Quran ialah "Akhirat" iaitu Al-Yawm Al-Akhir (Hari Akhir) atau Al-Dar al-Akhirah (Tempat Tinggal Akhir). Akhirat di dalam Al Quran merujuk kepada keseluruhan kehidupan selepas mati yang kekal, iaitu dari dibangkitkan, dikumpul, di hisab dan dimasukkan kedalam syurga atau neraka yang kekal.

Merujuk kepada mesej Whatsapp di atas, tiada tuntutan pahala yang dibuat keatas yang lain. Allah menggambarkan hari kiamat di dalam Al Quran seperti berikut:-

(i)     Tiada yang Memikul Dosa Orang lain Mahupun Keluarga Melainkan Penyesat
(ii)     Seakan baru Sesaat Meninggalkan Dunia dan Masih Kenal Mengenali
(iii)    Dikumpul secara Berkumpulan
(iv)    Keluarga, Sahabat and Pemberi Syafaat Tidak Manfaat
(v)     Sekutu-sekutu Manusia di Tanya
(vi)    Ditimbang dengan Adil dan Balasan yang Kekal


Tiada yang Memikul Dosa Orang lain Mahupun Kaum Keluarga Melainkan Penyesat

Selain daripada fahaman kononnya seseorang akan MENUNTUT PAHALA dari yang lain, terdapat juga fahaman bahawa seseorang itu akan menanggung dosa orang lain. Contohnya, bapa akan MENANGGUNG DOSA anak perempuan dan suami menanggung dosa isteri. Malah di Malaysia uztaz-uztaz pun berlainan pendapat.




Uztaz Azhar Idrus kata suami tanggung dosa isteri dan bapa tanggung dosa anak perempuan berdasarkan hadis-hadis yang beliau sandarkan.




Dr. Rozaimi pula menyatakan suami dan bapa tidak menanggung dosa isteri atau anak perempuan berdasar hadis-hadis yang beliau sandarkan.

Sungguhpun aku lebih cenderung kepada pendapat Dr. Rozaimi, akan tetapi kedua-duanya seolah-olah mengabaikan apa yang Allah ajar di dalam Al Quran. 

Terdapat banyak ayat-ayat Al Quran dan Allah berualang-ulang kali berfirman bahawa seseorang itu tidak menanggung dosa orang lain. Sila rujuk surah dan ayat 6:164, 39:7 dan 53:38.

Akan tetapi surah Al Fathir ayat 18 pada pendapat aku menjawab persoalan ini secara menyeluruh.

Surah Al Fathir - 35 ayat 18
Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikitpun meskipun kaum kerabatnya. Sesungguhnya yang dapat kamu beri peringatan hanya orang-orang yang takut kepada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihatNya dan mereka mendirikan sembahyang. Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya ia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan kepada Allahlah kembali(mu).

Ayat di atas adalah jelas dan tak perlu ditafsirkan secara panjang lebar.

Seorang bapa atau ketua keluarga bertanggunjawab keatas keluarga nya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggungjawabnya, itu adalah dosa dia sendiri. Antara ayat-ayat tentang tanggungjawab ini adalah seperti berikut:-

Surah At Tahrim - 66 ayat 6

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Surah Thaahaa - 20 ayat 132
Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan shalat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezki kepadamu, Kamilah yang memberi rezki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa. 


Sungguhpun begitu, terdapat hanya satu golongan sahaja yang akan memikul dosa orang lain. Menurut Al Quran seseorang itu hanya dipertanggungjawab memikul sebahagian dari dosa orang lain sekiranya dia telah menyesat orang lain dari jalan Allah dan orang yang disesatkan itu tidak mengetahui bahawa dia telah tersesat disebabkan oleh apa yang dilakukan atau diajar oleh penyesat.

Surah Al Ankabut - 29 ayat 12-13
Dan berkatalah orang-orang kafir kepada orang-orang yang beriman: "Ikutilah jalan kami, dan nanti kami akan memikul dosa-dosamu", dan mereka (sendiri) sedikitpun tidak (sanggup), memikul dosa-dosa mereka. Sesungguhnya mereka adalah benar-benar orang pendusta. Dan sesungguhnya mereka akan memikul beban (dosa) mereka, dan beban- beban (dosa yang lain) di samping beban-beban mereka sendiri, dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat tentang apa yang selalu mereka ada-adakan.

Surah Al Nahl - 16 ayat 24-25
Dan apabila dikatakan kepada mereka "Apakah yang telah diturunkan Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Dongeng-dongengan orang-orang dahulu", (ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa-dosanya dengan sepenuh-penuhnya pada hari kiamat, dan sebahagian dosa-dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikitpun (bahwa mereka disesatkan). Ingatlah, amat buruklah dosa yang mereka pikul itu. 


Terdapat banyak ciri-ciri kesesatan di dalam Al Quran. Dalam Surah Al Nahl di atas, mereka yang sesatkan itu adalah mereka yang menyatakan bahawa Al Quran itu adalah sesuatu yang tak perlu dipercayai samada secara keseluruhan atau sebahagian. Pada zaman dahulu, cara paling mudah ialah dengan menyatakan Al Quran dan kitab-kitab Allah itu adalah dongengan orang-orang dahulu.

Akan tetapi taktik syaitan agar manusia tidak mempercayai Al Quran juga berubah mengikut zaman dan tahap kecerdasan otak manusia itu sendiri. Pada hari ini kita dapati ramai yang meragui kesempurnaan Al Quran itu dengan mengagungkan tulisan-tulisan yang lain. Mereka ini juga tidak sedar bahawa selama ini mereka telah diajar dan ditanam perasaan taksub kepada kitab-kitab tulisan manusia dan meragui Al Quran.

Oleh itu setiap kali datangnya ayat-ayat Allah dibacakan kepada mereka, dan apa yang dibaca itu tidak selari dengan kitab-kitab tulisan manusia, mereka akan merasa resah dan ada akan berkata..."Al Quran itu benar.....TETAPI...". Perkataan seperti "TETAPI" ini sebenarnya membahayakan serta menggugat keimanan seseorang yang menjerumus kearah kesesatan



Seakan Baru Sesaat Meninggalkan Dunia dan Masih Saling Mengenali

Aku juga pernah difahamkan bahawa pada hari akhirat nanti, keluarga tidak mengenali sesama sendiri. Apakan lagi sahabat guru dan lain-lain.

Menurut Al Quran, manusia merasakan seolah-olah baru sesaat meninggalkan dunia sebelum kiamat dan mereka masih ingat dan mengenali sesama sendiri.

Surah Yunus - 10 ayat 45
Dan (ingatlah) akan hari (yang di waktu itu) Allah mengumpulkan mereka, (mereka merasa di hari itu) seakan-akan mereka tidak pernah berdiam (di dunia) hanya sesaat di siang hari, (di waktu itu) mereka saling berkenalan. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mereka dengan Allah dan mereka tidak mendapat petunjuk 

.
Dikumpul Secara Berkumpulan

Sebelum membaca Al Quran, ada banyak fahaman yang aku dengar dan pelajari bagaimana manusia dikumpulkan pada hari kiamat. Ada yang mengatakan terdapat golongan berkenderaan lah, golongan diseret lah, golongan Nabi Muhammad di asingkan, golongan yang wajah berupa binatang seperti kera dan lain-lain lagi.

Menurut Al Quran, pada hari Kiamat, manusia dikumpulkan dalam kumpulan-kumpulan seperti berikut:-

(i)     orang-orang beriman, Yahudi, Nasrani, Sabiin, Majusi dan Musyrik dikumpulkan berasingan
(ii)    orang-orang bertakwa
(iii)   orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah


Surah Al Hajj - 22 ayat 17
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orangYahudi, orang-orang Shaabi-iin orang-orang Nasrani, orang-orang Majusi dan orang-orang musyrik, Allah akan membezakan antara mereka pada hari kiamat. Sesungguhnya Allah menyaksikan segala sesuatu.

Surah An Naml - 27 ayat 83
Dan (ingatlah) hari (ketika) Kami kumpulkan dari tiap-tiap umat segolongan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, lalu mereka dibagi-bagi (dalam kelompok-kelompok)

Surah Maryam - 19 ayat 85
(Ingatlah) hari (ketika) Kami mengumpulkan orang-orang yang takwa kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sebagai perutusan yang terhormat, 





Keluarga, Sahabat and Pemberi Syafaat Tidak Manfaat

Salah satu fahaman yang aku tidak faham ialah "penolong" pada hari Kiamat. Terdapat kawan-kawan malah saudara aku yang mempercayai "tok guru Sheikh" mereka yang dikatakan "alim" yang boleh menyelamatkan mereka pada hari kiamat. Aku juga ada terima Whatsapp sharing mesej tentang bagaimana keluarga dan sahabat boleh menyelamatkan kita di akhirat.

Ada yang percaya bahawa dengan menyimpan janggut dan memakai serban akan menyenangkan Nabi Muhammad mengenal kita sebagai umatnya dan menyelamatkan kita pada hari akhirat.

Akan tetapi Al Quran menggambar yang sebaliknya berlaku. Ayat-ayat tersebut untuk di renungi:-

Surah Luqam - 31 ayat 33
Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapak tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapaknya sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah


Surah Al Mumtahanah - 60 ayat 3
Karib kerabat dan anak-anakmu sekali-sekali tiada bermanfaat bagimu pada Hari Kiamat. Dia akan memisahkan antara kamu. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. 

Surah Al Baqarah - 2 ayat 123
Dan takutlah kamu kepada suatu hari di waktu seseorang tidak dapat menggantikan seseorang lain sedikitpun dan tidak akan diterima suatu tebusan daripadanya dan tidak akan memberi manfaat sesuatu syafa'at kepadanya dan tidak (pula) mereka akan ditolong.


Sekutu-sekutu Manusia DiTanya

Sebahagian besar manusia sememangnya ingin beriman kepada Allah, Maha Pencipta sekelian alam, akan tetapi kebanyakkan manusia beriman di dalam keadaan menyekutukan Allah. Renungi ayat-ayat ini:-

Surah Yusuf - 12 ayat 103 - 106
Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman - walaupun kamu sangat menginginkannya-.Dan kamu sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka (terhadap seruanmu ini), itu tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam.  Dan banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya. Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan lain). 

Pada hari kiamat, sembahan-sembahan ini yang kebanyakkan dari golongan manusia ditanya Allah samada mereka kah yang menyebabkan manusia itu syirik. Ini adalah jawapan sembahan-sembahan ini.

Surah Al Furqaan - 25 ayat 17
Dan (ingatlah) suatu hari (ketika) Allah menghimpunkan mereka beserta apa yang mereka sembah selain Allah, lalu Allah berkata (kepada yang disembah); "Apakah kamu yang menyesatkan hamba-hamba-Ku itu, atau mereka sendirikah yang sesat dari jalan (yang benar)?." Mereka (yang disembah itu) menjawab: "Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagi kami mengambil selain engkau (untuk jadi) pelindung, akan tetapi Engkau telah memberi mereka dan bapak-bapak mereka kenikmatan hidup, sampai mereka lupa mengingati (Engkau); dan mereka adalah kaum yang binasa." 

Malah sembahan-sembahan selain dari Allah ini sendiri tidak mengetahui bahawa mereka telah disekutukan oleh manusia.

Surah Yunus - 10 ayat 28 
(Ingatlah) suatu hari (ketika itu). Kami mengumpulkan mereka semuanya, kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan): "Tetaplah kamu dan sekutu-sekutumu di tempatmu itu." Lalu Kami pisahkan mereka dan berkatalah sekutu-sekutu mereka: "Kamu sekali-kali tidak pernah menyembah kami. 

Dikalangan mereka yang disekutukan juga, adalah golongan yang mengajar manusia kearah kesesatan. Mereka ini, setelah Allah jelaskan kesalahan mereka, mengaku bahawa merekalah penyebab kesesatan keatas manusia, sebagaimana mereka sendiri sesat. Akan tetapi mereka tidak mengaku bahawa mereka telah disekutukan oleh manusia.

Pada pendapat aku, mereka ini adalah para guru-guru yang mengajar manusia mempercayai selain dari apa yang diajar Allah dan manusia begitu taksub kepada guru-guru ini. Sungguhpun golongan manusia ini mempercayai Allah dan membaca kitab-kitab Allah, akan tetapi meletakkan ajaran-ajaran atau penulisan guru-guru ini melebihi ajaran dan kitab-kitab Allah. Mereka dan guru-guru mereka tidak sedar bahawa mereka telah menyekutukan Allah dan disekutukan oleh golongan manusia ini.

Surah Al Qashaash - 28 ayat 62-64
Dan (ingatlah) hari (di waktu) Allah menyeru mereka, seraya berkata: "Di manakah sekutu-sekutu-Ku yang dahulu kamu katakan?" Berkatalah orang-orang yang telah tetap hukuman atas mereka; "Ya Tuhan kami, mereka inilah orang-orang yang kami sesatkan itu; kami telah menyesatkan mereka sebagaimana kami (sendiri) sesat, kami menyatakan berlepas diri (dari mereka) kepada Engkau, mereka sekali-kali tidak menyembah kami." Dikatakan (kepada mereka) "Serulah olehmu sekutu-sekutu kamu", lalu mereka menyerunya, maka sekutu-sekutu itu tidak memperkenankan (seruan) mereka, dan mereka melihat azab. (Mereka ketika itu berkeinginan) kiranya mereka dahulu menerima petunjuk.


Konsisten dengan ayat 12:10-106 diatas, sememangnya manusia pada hari Akhirat juga tidak mengetahui bahawa mereka sebenarnya beriman dalam mempersekutukan Allah. Golongan manusia ini juga di tanya.

Surah An An'am - 6 ayat 22-23
Dan (ingatlah), hari yang di waktu itu Kami menghimpun mereka semuanya kemudian Kami berkata kepada orang-orang musyrik: "Di manakah sembahan-sembahan kamu yang dulu kamu katakan (sekutu-sekutu) Kami?." Kemudian tiadalah fitnah mereka, kecuali mengatakan: "Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah." 


Ditimbang dengan Adil dan Balasan yang Kekal

Dari kecil aku difahamkan sebagai orang Islam, kita akan dimasukkan ke syurga juga akhirnya sungguhpun terdapat umat Islam yang akan dimasukkan ke neraka dahulu sebelum ke syurga. Fahaman ini seolah-olah umat Islam akan dibersihkan dahulu di neraka keatas keengkaran mereka, akan tetapi hanya untuk sementara sahaja.

Ajaran ini wujud dalam ajaran Yahudi lagi apabila para ulamak Yahudi menulis kitab-kitab yang menyatakan mereka hanya akan masuk neraka selama beberapa ketika sahaja sebelum dimasukkan ke syurga.

Allah menolak fahaman ini di dalam Al Quran.

Surah Al Baqarah - 2 ayat 79-82
Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis Al Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya; "Ini dari Allah", (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa yang mereka kerjakan. Dan mereka berkata: "Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka, kecuali selama beberapa hari saja." Katakanlah: "Sudahkah kamu menerima janji dari Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janji-Nya, ataukah kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?"  (Bukan demikian), yang benar: barangsiapa berbuat dosa dan ia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. Dan orang-orang yang beriman serta beramal saleh, mereka itu penghuni surga; mereka kekal di dalamnya

Orang yang diliputi dosa yang dimaksudkan di dalam ayat diatas adalah orang yang berat timbangan dosanya berbanding amalan baik. Dan timbangan Allah pada hari Kiamat amatlah adil.

Surah Al Araf - 7 ayat 8-9
Timbangan pada hari itu ialah kebenaran (keadilan), maka barangsiapa berat timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung. Dan siapa yang ringan timbangan kebaikannya, maka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami. 

Al Anbiya - 21 ayat 47
Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikitpun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawipun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan.


Aku pernah berkongsi ayat-ayat Allah ini dengan sahabat-sahabat, terutamanya yang mempertahankan fahaman yang mengatakan pada hari Kiamat nanti, sebagai umat Islam, kita akan akhirnya masuk syurga juga, dan masuk neraka hanya sementara. 

Sungguhpun mereka mengaku kebenaran Al Quran, tetapi kebanyakkan masih kurang senang dan gelisah kerana seolah-olah ajaran penulis-penulis kitab yang mereka imani (percaya) sebelum ini diperlekehkan.

Sekadar renungan sebelum mengakhiri artikel ini.

Surah Al Isra - 7 ayat 45-46
Dan apabila kamu membaca Al Quran niscaya Kami adakan antara kamu dan orang-orang yang tidak percaya kepada kehidupan akhirat, suatu dinding yang tertutup, dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak dapat memahaminya. Dan apabila kamu menyebut Tuhanmu saja dalam Al Quran, niscaya mereka berpaling ke belakang karena bencinya,


Moga Allah tidak tutup hati kita dan sumbat telinga kita dari mendengar dan memahami Al Quran. Pilihan adalah......Atahmu.

Wassalam



No comments:

Post a Comment

Credit Transactions According to Al Quran

  In the Name of God, Most Gracious, Most Merciful We often hear words like "Shariah Compliant" or "Shariah Compliance" ...